TIDAK ADA APA JUA YANG DIALAMI SESEORANG MELAINKAN IA PERNAH TERLINTAS DI FIKIRANNYA


Secara jujurnya, cuba perhatikan segala yang anda miliki hari ini. Harta, perhubungan, kedudukan atau apa saja yang sedang anda miliki. Pernahkah anda terfikir bahawa inilah apa yang pernah anda bayangkan, impikan, dan mahukan? Dalam ertikata lain, secara sedar atau tidak ia pernah singgah dilubuk minda, Persoalannya, adakah ia satu kebetulan?

Apa saja jawapan anda, samada menerima atau sebaliknya, hakikatnya ia telah terjadi dan akan terus terjadi.

Jika sesebuah jiwa itu telah terbangkit, maka akan terpaparlah akan sebuah susunan hidup yang amat indah. Susunan yang tidak pernah menyantuni istilah 'kebetulan'. Inilah yang dinamakan 'hukum alam'. Hukum yang telah tersedia sebelum diciptaNya alam ini, jauh sebelum wujudnya manusia di muka bumi. Ia adalah hukum yang tercipta untuk mentadbir alam semesta, 'sistem' untuk menyempurnakan kehidupan.

Tidak ada seorang manusia pun dapat merungkai sepenuhya rahsia alam apatah lagi membuat simbol terperinci akannya. Jika semua manusia mampu menjadi seperti apa yang mereka inginkan sepenuhnya, maka alam ini tidaklah seperti apa yang kita alami ini, di dimensi ini.

Namun fitrah akal kekal menghuni setiap tubuh, menelusuri setiap keturunan sepanjang masa. Dengan memerhati bayang, manusia cuba mengenal pasti rupa bentuk sebenar objek, walaupun tidak sebegitu lengkap. Manusia mengkaji dan mengumpul pengetahuan dari kehidupan lampau untuk mencongak apa yang bakal mereka lalui. Mengambil iktibar dari alam besar di luar sana, setiap pusaran akan tiba pada titik yang sama pada suatu masa. Mereka cuba membaca corak kehidupan yang seakan berulang bila tiba ketikanya.

Setiap yang terkisar dalam kehidupan seseorang kesemuanya lahir dari akalnya sendiri. Segalanya saling tergerak dan menggerakkan satu dengan yang lainnya. Apabila kemahuan telah disemai maka akan sampai masa hasilnya harus dituai.

Minda mencipta realiti. Manusia itu hidup dengan derianya. Dia melihat, menghidu dan merasa pengalaman lalu akan terakam di minda. Tidak ada satu pengalaman pun yang boleh terlepas selain akan terikat pada hukum untuk dijelmakan semula dalam bentuk yang sepatutnya. Apa yang bahaya, apa yang sengsara atau apa sahaja yang membahagiakan. Ia tidak punya bahasa dan tidak pernah mengenal erti salah dan benar. Apa yang diterimanya akan dirakam, diproses lantas dilantunkan semula melalui susun aturnya dengan tepat tanpa disedari.

Setiap yang kita fikirkan akan dizahirkan ke dalam hidup melalui perkataan, perbuatan, dan kemudiannya bertukar menjadi tabiat, lalu dengan itu terbentuklah peribadi. Lantas tanpa disedari ianya secara perlahan-lahan akan membentuk “takdir” yang mewarnai hidup.

Sebagai contoh, seorang manusia yang sering mencerca, hidupnya akan dikelilingi cercaan. Yang kecil dicerca, yang besar juga dicerca. Dia senang dengan cara itu. Hidupnya cenderung mencerca untuk mendapatkan simpati, untuk kegunaan peribadi, untuk mencapai apa yang dihajati. Kata-katanya mencerca, perbuatannya mencari jalan untuk mencerca dan secara perlahan-lahan dia akan hidup dalam cercaan. Hidupnya akan mencerca dan dicerca. Lantas dia akan mula merasakan bahang cercaan dan hidupnya banyak diluangkan hanya untuk mempertahankan diri dari dicerca kerana cercaan itu sebahagian dari dirinya.

Insan yang selalu memikirkan akan kekurangan akan sentiasa melihat apa yang tidak cukup tentangnya.
Pemikirannya mula membentuk titik kekurangan dan segala yang diusahakannya akan dimulakan dari sudut itu. Dia akan sering mengeluh atas kekurangan dan sering berduka tentang apa yang kurang. Dia akan mula merasakan ruang-ruang kekurangan. Dia akan berbicara tentang apa yang kurang dan hanya melihat batas kekurangan. Dia mula ditemukan dengan rakan-rakan yang se’nasib’ dan mereka akan sering membicara perkara yang sama. Dia mula ditemukan dengan jalan-jalan kekurangan dan jalan untuk keluar mula berkurang. Hidupnya hanya memikirkan kekurangan dan secara perlahan-lahan dia mula lemas dalam hidup yang serba kekurangan.

Hidup yang mencari kesempurnaan akan dihiasi kesempatan kesempurnaan. Dia akan berkata dengan cara yang sempurna dan manusia akan melihatnya sebagai seorang yang sempurna. Dia mula hidup dengan kehidupan sempurna dan dihiasi kesempurnaan. Dia membicarakan kesempurnaan yang lain dan yang lain akan membicarakan kesempurnaanya. Secara perlahan-lahan kata-katanya, perbuatannya dan hidupnya akan menuju kesempurnaan.

Manusia yang mencari kemewahan akan mula berminat melihat kemewahan. Teman-temannya terdiri dari mereka yang mewah. Kata-katanya adalah tentang kemewahan. Dia mula berbicara tentang kemewahan dan doanya dipenuhi hasrat menuju kemewahan. Dia mula bersuara tentang kemewahan mereka yang mewah. Dia ditemukan dengan jalan-jalan menuju kemewahan. Mindanya mula menghasilkan jalan-jalan kemewahan dan akhirnya dia akan merasakan kemewahan.

Jiwa yang mencari jalan kerohanian akan ditemukan dengan ruang-ruang kerohanian. Dia berminat mendengar ilmu kerohanian. Kata-katanya mula membibitkan unsur kerohanian. Dia mula mencari jalan menuju alam kerohanian. Perbuatannya berunsur kerohanian dan jiwanya mula dilengkapi pengisian. Teman-temannya terdiri dari mereka yang sealiran dan hidupnya secara perlahan-lahan bertukar seperti apa yang dia inginkan.

Manusia yang mula memikirkan tentang kesyukuran akan ditemukan sebab dan alasan untuk dia bersyukur. Dia akan sentiasa berbicara tentang kesempurnaan nikmat. Jiwanya mula untuk mudah bersyukur. Dia mula melihat apa yang yang patut disyukurinya. Disebabkan nilai kesyukuran itu tinggi, maka dia akan selalu terdorong untuk melihat ke bawah, dia tidak mudah membuat perbandingan kerana kekuatan nilai kesyukuran.
Orang-orang sekelilingnya, keluarganya malah kehidupannya secara perlahan-lahan menuju ke arah itu. Apa saja yang difikirkannya akan mendapat kesinambungan dari pemikirannya itu.

Tidak ada istilah kebetulan atau nasib di alam ini. Yang ada hanyalah kata-kata bagi sesetengah mereka yang gagal membongkar persimpangan sesuatu perkara. Apabila persoalan tidak dapat dirungkai maka muncullah kata-kata yang sedemikian.

Cuba perhatikan tabiat anda, pasangan anda, kediaman yang anda miliki, kenderaan yang anda gunakan, taraf kewangan, fesyen baju yang dikenakan, keluarga, kerjaya dan yang lain-lainnya. Secara jujur bukankah itu yang selalu terbayang atau yang pernah anda bayangkan dahulu, mungkin lama dahulu. Itulah bukti bagaimana kehidupan tercipta dan terubah mengikut apa yang pernah terfikir dan terlintas di fikiran sebelum ia terjadi. Samada secara sedar atau tidak sedar apa yang kita lihat dan fikirkan akan terbentuk satu hari nanti.

Secara jujur, bolehkah anda nafikan?

Jadi perhatikan setiap pemikiran yang lahir. Hanya dengan kesempatan itu sahaja kita boleh menentukan apa yang ingin kita miliki suatu hari nanti menjadi milik kita. Perbaiki apabila merasa sesuatu itu kurang sesuai untuk kita dan kuasai apabila itu adalah hak yang kita inginkan. Jika kita rasakan ia kurang sesuai, ubahlah secara fitrah tanpa ada sebarang tentangan dalam jiwa. Jika ia bersesuaian, kekalkanlah. Tidak pernah terlambat sesuatu usaha melainkan ianya harus sentiasa diperhati, diperbaiki.

Disebabkan itu maka kawallah kesemua deria dari menerima perkara-perkara yang bukan menjadi haknya. Cari peluang yang boleh menjauhkan diri dari perkara-perkara yang dirasa kurang sesuai. Apa yang kita lihat, dengar, hidu, begitu juga apa yang kita bualkan dan katakan akan membentuk sebuah pemikiran yang akan dimanifestasikan (jelmakan) ke dalam hidup.

Walaupun kita tidak mampu membongkar kesemuanya, namun secara ringkas begitulah bagaimana  corak 'sistem' dunia yang boleh kita fikirkan dan gunakan untuk mendapat manafaat. Sistem yang tersedia ini amat  unik dan adil dimana segala keputusan diletakkan pada manusia itu sendiri.

Rasa marah dan kesal hanya akan membuatkan kita dibuktikan dengan seribu satu kebenaran tentang perasaan itu, ia memburukkan keadaan. Dan juga janganlah disuatu hari nanti dikesalkan atas apa yang dialami, kerana semuanya datang dari pemikiran kita sendiri. Ambil masa untuk membina kemahiran berfikir ke arah itu dan memiilih sesuatu yang benar-benar sesuai untuk hadir dalam hidup. Kuasai hidup sebelum hidup menguasai kita.


“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali
kaum itu sendiri yang mengubah apa yang ada pada diri mereka. ”
QS.13:11


Mohon maaf atas sebarang kekurangan.



Oleh : Ali Nafiah





Hakmilik Terpelihara RahsiaDiri.com 2019