BEBASKAN MASA LAMPAU YANG MEMBEBANKAN

Masa silam atau situasi yang pernah kita alami akan meninggalkan kesan pembentukan untuk hari ini dan masa yang akan mendatang. Bagi ahli-ahli 'spiritual' atau mereka yang mendalami kesan sebalik fizikal amat faham tentang perkara ini dan perkara pertama yang akan mereka ini lakukan ialah memutuskan atau meninggalkan 'energi' kesan-kesan silam yang pahit dari melambatkan proses kematangan kesedaran dalam diri masing-masing.

Masa silam boleh ditafsirkan sebagai kenangan pahit dan kenangan manis. Kedua-duanya akan terus memainkan peranan dalam minda dan memberi kesan dalam hidup selagi tidak mendapat penyelesaian, yang mana harus ditinggalkan dan yang mana bolehkan kekal.  Ia umpama 'hutang' yang perlu dilangsaikan. Namun begitu, rata-rata dari kita tidak menyedari akan kesedaran bahawa perkara ini perlu diambil perhatian dan ramai yang beranggapan bahawa tidak ada apa yang perlu dilakukan untuk itu. Kita hanya mengerti yang ia cuma sekali sekala datang lalu menghambat jiwa dan langsung tidak menyedari ia mampu mencorak hari-hari yang bakal kita lalui seterusnya.

Yang menjadi persoalan adalah bagaimana untuk membebaskan diri dari cengkaman kenangan masa silam yang pahit dan tidak indah. Ini kerana kenangan-kenangan ini membekalkan 'energi' yang tidak begitu sesuai untuk kegunaan kita seharian. Apabila ia terimbau, maka akan ada emosi yang terganggu dan ada perasaan yang terkesan, lantas ia menimbulkan satu lagi penyebab untuk terjadinya satu akibat yang berbentuk serupa.

Persepsi akan sentiasa berpihak kepada pengalaman tanpa kita sedari. Apabila ia terbentuk agak sukar bagi kita memulih atau mengubahnya, jika boleh sekali pun ia akan mengambil masa dan pada masa yang sama telah terbentuk satu lagi kesan yang lain. Trajektorinya akan sedikit tersasar dari arah matlamat dan tujuan asal.

"Seorang anak yang didera tidak akan berhenti menyayangi kedua ibu bapanya
melainkan dia akan berhenti menyayangi dirinya sendiri"

Pengalaman pahit mungkin wujud dari keadaan yang pernah membuatkan kita marah, sedih, takut, rendah diri, cemburu dan sebagainya. Ia mungkin terjadi dari situasi seperti kematian, kemalangan, salah faham, penderaan, perpisahan, kegagalan, kesakitan dan lain-lain. Ia satu pengalaman yang kurang sesuai untuk diimbau dan agak membebankan jiwa pada kebanyakan masa. Apabila jiwa mula kacau maka secara spontan tahap pemikiran dan kerohanian akan menurun lantas daya fizikal juga akan ikut sama terkesan. Ia akan meruntun daya kreativiti, daya imiginasi positif, naluri dan ia juga mampu memberi kesan pada tubuh fizikal dengan melemahkan sistem imun tubuh. Dengan membiarkan ianya berlarutan dan tanpa melakukan sesuatu, kekuatan minda dan jiwa akan semakin merosot dan akhirnya membawa kepada satu keadaan mental yang amat kusut dan akhirnya kronik. Apabila minda tidak menemui jalan penyelesaian berdasarkan pengetahuan diri sedia ada, ia boleh membawa kepada satu hala tuju yang tidak terkawal.

Apabila ia terjadi maka secara tidak sedar, diri akan berada pada satu koordinasi yang menuju satu keadaan yang tidak begitu menyenangkan. Keadaan dimana marah, sedih, lemah, keliru mudah mengambil tempat dan menguasai minda pada ketika itu. Maka sekali gus segala pemikiran dan tindakan serupa akan tercipta bagi membentuk satu keadaan dan sudah tentu meninggalkan satu kesan dalam pembentukan detik-detik seterusnya.

Dengan itu beberapa langkah dan tindakan boleh diambil untuk membantutkan imbauan-imbauan yang tidak sesuai pada kebanyakan masa tersebut.

Langkah pertama ialah dengan memberi kesedaran diri. Kesedaran perlu timbul pada hakikat pemikiran bahawa 'kenangan pahit' boleh memberi kesan terhadap masa kini dan akan datang seseorang.

Langkah kedua ialah berniat untuk mengkaburkan kenangan-kenangan tersebut. Ia perlu dilakukan secara lembut tanpa sebarang tentangan dan paksaan dalam diri. Bagi seseorang yang belum mengetahui 'rahsia di sebalik fizikal', proses ini mungkin mengambil sedikit masa penyediaan bagi menyesuaikan diri buat kali pertama.

Setelah ia dilaksanakan barulah jiwa akan terhubung dengan laluan yang telah ditetapkan dan besedia untuk bertindak.
 
"Dia yang sentiasa menyalahkan orang lain mempunyai jalan yang masih jauh dalam perjalanannya,
dia yang menyalahkan diri sendiri hanya mempunyai separuh jalan untuk sampai,
dan dia yang tidak menyalahkan sesiapa telah menyempurnakan perjalanannya".


Tindakan pertama ialah dengan memaafkan diri. Hidup ini tidak terikat dengan mana-mana persepsi. Minda bebas dan boleh dibebaskan. Kita perlu akui bahawa diri adalah salah satu komponen dalam pembentukan situasi sekeliling. Kita memainkan peranan dan terlibat sama dalam menjayakan turun naik kehidupan. Adakalanya kita membuat kesilapan, terlepas pandang dan tidak sedar tentang perkara-perkara yang terjadi dalam hidup. Dengan itu maafkanlah diri kerana terjadinya kejadiaan itu.

Tindakan kedua adalah dengan menggantikan tempat 'kenangan pahit' dengan sesuatu yang boleh memalingkan perhatian minda pada suatu arah yang lain. Gantikan ianya dengan suatu kenangan yang mampu membuatkan hati tersenyum. 'Kenangan manis' tersebut mungkin datang dari kenangan bersama mereka-mereka yang memberikan kesan bahagia dalam jiwa. Mungkin ia berbentuk haiwan, alam, barangan material atau juga situasi. Lebih lama kita membelek kenangan yang membahagiakan itu, jiwa akan mula tersenyum ekoran dari kemahiran untuk memantulkan semula situasi. Langkah ini akan memberikan kesan serta-merta dalam jiwa. Walaupun ingatan pada 'kenangan pahit' itu tidak boleh dibebaskan sepenuhnya, cukuplah sekadar merehatkannya sementara apabila berkeperluan.

Tindakan ketiga adalah untuk membebaskan cengkaman dan keperitan masa silam yang tidak sesuai. Kita mungkin tidak berupaya untuk menghapuskan dan melupakan sesuatu 'kenangan pahit' dalam jangkamasa singkat. Tetapi tidak mustahil untuk kita mengurang dan menghilangkan kesan keperitannya. Kenangan dan situasi bukanlah bersifat fizikal, ia cuma betapak di minda dan bersifat sementara. Ia boleh diubah arah dan bentuk. Untuk mengubahnya ia cuma memerlukan sedikit kemahiran dan pemahaman yang tidak begitu sukar untuk dilaksanakan.

Jiwa tidak boleh dipaksa untuk melupakan sesuatu, semakin kita membenamkannya semakin lantang dia akan bersuara. Semakin kita lari bertambah laju dia mengekori. Dia tidak boleh dihapuskan kerana dia adalah kita pada hakikatnya. Dia adalah bayang kepada jiwa, begitulah keadaannya. Kita tidak boleh mengubah keadaan selain dari mengubah diri sendiri, semoga apabila kita mengubah apa yang ada pada diri kita, keadaan akan sendirinya terubah.

Bersemukalah dengannya. Jadikan dia sahabat yang baik. Tanpa dia siapalah kita. Dia adalah sebahagian dari pembentukan apa yang kita lalui sekarang. Tidak boleh dinafikan bahawa peluang dan hasil yang kita nikmati sekarang adalah sebahagian datang melaluinya. Kita bukan apa yang kita lihat pada diri kita sekarang tanpanya. Terima dia seadanya dan dia akan menerima kita sebaiknya. Lihat 'kenangan pahit' itu sebagai satu anugerah. Tanpa dia mungkin ada satu lagi keadaan yang lebih berat mengambil tempatnya. Kita tidak boleh lari dari pusaran ini ini kerana dimana-mana sahaja kita hidup pahit dan manis akan sentiasa menghiasi dimensi ciptaan tuhan ini.

Semakin kita menerimanya semakin dia akan hilang dari ingatan. Dia akan lenyap tanpa kita sedari.

Satu-satunya cara bagi menyelesaikan segala permasalahan di dunia ini adalah dengan melihat fitrah alam. Bagaimana di atas begitulah dibawah, bagaimana di dalam begitulah di luar. Dengan mengambil pendekatan 'cara' alam nescaya akan sejajarlah kehidupan ini tanpa sebarang tentangan dan kepayahan. Kepayahan hanyalah produk minda, payah bagi seseorang mungkin tidak pada yang lain.

Alam itu menarik, berpusar dan berubah bentuk, begitulah sifatnya. Apa yang menolak bukan fitrahnya dan apa yang tidak bergerak juga bukan fitrahnya. Tidak ada istilah salah dan benarnya dalam usaha ini. Jika ia bukan 'hak'nya, secara sendiri ia akan mula berjauhan, tanpa sebarang paksaan. Di situ kuncinya.

'Insan adalah alam yang kecil,
alam adalah insan yang besar"
Falsafah Hidup : Prof. Dr. H. Abdul Malik Karim Amrullah - Hamka : (1908-1981)



Anda membaca artikel ringkas ini tidaklah datangnya dari istilah kebetulan, ia adalah istilah dari persepsi manusia. Anda membacanya kerana ia sebahagian dari permintaan yang pernah terlintas. Anda memerlukannya dan dia hadir tepat pada masa yang sepatutnya.

Apa sahaja yang kita lalui adalah akibat dari tindak balas situasi. Sesuatu yang kita tunggu tidak akan pernah muncul tanpa kita memulakannya. Apa yang kita alami akan menemui kesan serupa pada masa akan datang. Cipta satu hidup sempurna disetiap persimpangan hidup.

Mohon maaf atas sebarang kekurangan.


Oleh : Ali Nafiah


Hakmilik Terpelihara RahsiaDiri.com 2019